Review Novel: Meremang
Novel: Meremang karya Ninie Othman
Salam sejahtera. Petang ni macam nak buat review novel pula. Ini berdasarkan saya sendiri yang juga sudah lama menceburi bidang penulisan novel sejak zaman sekolah menengah lagi. Zaman sekolah rendah pun dah mula menulis cuma lebih kepada cerita pendek atau cerpen dan sedikit puisi. Dua karya saya pernah juga tersiar di surat khabar, satu cerpen dan satu puisi. Tapi, novel yang saya buat, tak pernah diterbitkan lagi sebab masa tu tak ada komputer. Ada komputer pula, tak ada perisian Microsoft Words dan bila dah ada semua tu, tak ada masa pula. Sibuk bekerja dan sebagainya. Sebelum masuk tahun baru 2019 ni, saya menulis kembali. Merancang untuk dihantar pada penerbit, Insya-Allah. Moga dipermudahkan.
Genre novel kegemaran saya lebih kepada seram dan thriller. Saya tak berapa minat dengan novel cinta-cinta atau kahwin paksa. Dulu-dulu memang minat saya tapi seiring dengan usia novel seperti itu lebih kepada bacaan kosong. Saya memerlukan novel yang boleh memberi sedikit pengisian pada saya. Saya dah baca banyak novel thriller dan seram sebelum ini. Novel Meremang ni novel terbaru yang saya baru beli dan baca.
Meremang
First saya baca sinopsis, saya tertarik pada watak Zamia Izaiqa yang baru kematian tunangnya. Jadi, dia membawa diri ke banglo biru untuk menenangkan fikiran. Ada cinta di situ tapi tidak keterlaluan. Permulaan cerita memang menarik. Banyak menceritakan tentang penderitaan Zamia yang kematian tunangnya. Dari bab ke bab yang seterusnya, novel ini bergerak dengan menarik dan isi yang padat. Saya suka menyelami lebih banyak tentang latar belakang cerita dan watak-watak di dalamnya secara terperinci tapi tidak keterlaluan.
Saya dapat bayangkan sebuah banglo dengan pokok besar di kawasan banglo. Cuma saya tak dapat bayangkan bagaimana besar banglo biru itu. Jadi, dalam imaginasi saya, banglo itu cuma ada sebuah ruang tamu, dua buah bilik tidur, sebuah dapur dan bilik air. Banglo setingkat. Saya kira pasti banglo itu seperti rumah-rumah penduduk kampung Melayu yang lain cuma lebih besar dan gah.
Saya juga dapat merasakan apa yang abang Zamia dan ibu Zamia rasakan bila anak mereka sendiri seperti tenggelam dalam kesedihannya. Memang degil Zamia yang seorang itu. Saya yang tak pernah jadi ibu ini pun dapat rasakan kebimbangan ibu Zamia. Saya juga dapat merasakan bagaimana jika di tempat Zamia, dengan ibu saya yang susah hendak bercerita tentang sejarah banglo biru. Padahal, ada kaitan dengan kematian tunangnya. Kadang-kadang, kita perlu berterus terang untuk perkara yang melibatkan keselamatan dan nyawa supaya kita boleh bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang.
Akhirnya terbongkar akan kaitan banglo biru dan pokok besar itu dengan kematian tunangnya. Tapi macam lambat sangat. Saya tunggu dan tunggu hingga akhirnya, ianya dibongkar semua secara mendadak pada penghujung bab. Mungkin penulis mahu pembaca menyelami dahulu hati dan sikap Zamia yang sebenarnya. Siapa teman-teman Zamia yang membantu untuk merungkaikan misteri kematian tunangnya.
Apa-apa pun, novel ini memang berbaloi untuk dibeli dan dimiliki. Apa yang penting, isinya padat. Gaya penceritaan yang bagus dan berkesan. Saya pernah beli novel tebal bergenre sama tapi aduhai, macam tak berbaloi sebab isinya meleweh-leweh. Setiap bab macam tak ada apa-apa sangat. Isinya kurang padat. Saya lebih banyak membaca dialog daripada memahami perasaan watak-watak tersebut dengan lebih lagi. Penceritaan latar tempat juga penting untuk lebih menyelami cerita tersebut.
Saya bagi novel Meremang 7.5/10. Semoga saudari Ninie Othman sukses selalu.
Comments
Post a Comment